MOTIVASI & ADDIN

Anda inginkan petua-petua untuk menjadi pelajar cemerlang walau di mana sahaja anda berada?

Apa kata kita renungkan kembali beberapa petua atau tips kejayaan yang telah Allah SWT titipkan di permulaan surah Al-Mu’minun, surah yang ke-23 di dalam lembaran Al-Quran.

01.Keyakinan, kepercayaan and keimanan kepada Allah SWT

“Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang beriman.” [23:1]

Iman dan kejayaan disebut oleh Allah SWT dalam ayat yang sama. Maka imanlah faktor utama kejayaan. Dan keyakinan yang tinggi inilah yang akan melahirkan sikap positif yang bakal disebutkan dibawah.

02.Fokus, bersungguh-sungguh, sepenuh hati

“iaitu orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.” [23:2]

Lakukan satu-satu perkara dalam satu-satu masa. Jangan mencapah dan melayang fikiran ke sana ke mari. Lakukan dengan sepenuh hati, bukan sambil lewa.

03.Prioriti. Mengutamakan apa yang utama.

“dan orang-orang yang menjauhkan diri dari lagha (perbuatan dan perkataan yang tidak berguna).” [23:3]

Kebiasaannya dalam menghadapi musim peperiksaan yang penuh tekanan, kita cenderung untuk berehat dan menenangkan minda dengan hiburan, menonton drama, bersembang di Facebook dan seumpanya sehinggakan selalu sahaja melebihi daripada masa rehat yang telah kita peruntukkan.

Sebaik-baiknya kita mengoptimumkan penggunaan masa untuk belajar, dan mengisi masa rehat kita dengan perkara-perkara yang berfaedah seperti membasuh, melipat atau menggosok baju, bersenam untuk melancarkan perjalanan darah di dalam badan dan bermacam-macam lagi yang anda sendiri lebih sedia maklum.

Namun, sebaik-baiknya kita gunakan masa rehat itu untuk mengambil wudu’, melakukan solat sunat dan membaca Al-Quran. InsyaAllah apabila kita lebih rapat dengan Allah SWT, jiwa kita akan lebih tenang dan ia akan banyak membantu dalam usaha kita mengulangkaji pelajaran.

Kita dikehendaki menghindarkan diri dari perbuatan mengumpat pensyarah/guru kerana perkara-perkara sebegini tidak mendatangkan faedah kepada masa depan anda, tidak menambahkan markah untuk kertas peperiksaan yang bakal/telah diduduki, malah boleh mendatangkan dosa dan kemurkaan Allah SWT.

04.Prihatin sesama kita

“dan orang-orang yang menunaikan zakat.” [23:4]

Walaupun sedang berada di saat-saat genting, janganlah kita bersikap terlalu mementingkan diri, dan mengabaikan kawan-kawan yang lebih susah di sekeliling kita. Kongsilah apa yang termampu, samada ilmu, kertas-kertas soalan tahun lepas dan lain-lain. Sharing is caring.

05.Jaga hubungan antara lelaki dan perempuan

“dan orang-orang yang menjaga kehormatannya. kecuali terhadap isteri-isteri mereka, atau hamba yang mereka miliki, maka mereka (isteri dan hamba) dalam hal ini tiada tercela. Sesiapa yang mencari dibalik itu, mereka itulah orang-orang yang melampaui batas.” [23:5,6,7]

Janganlah kita menggunakan alasan belajar untuk melanggari batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan ajnabi, misalnya dengan studi berdua-duan, kemudian pulang ke rumah berpimpin tangan, atau asal tertekan je mesti nak bergayut atau berchatting dengan kawan lelaki/perempuan anda.

Padahal Allah SWT kan sentiasa ada, sentiasa melindungi dan sentiasa menolong jika kita mencari dan meminta pada-Nya.

06.Jujur, amanah

” dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah dan janjinya.”[23:8]

Bukankah kita telah berjanji dengan pihak penaja dan ibu bapa kita untuk belajar bersungguh-sungguh? Lebih penting lagi, bukankah kita telah berjanji dengan Allah SWT untuk memanfaatkan peluang kehidupan sebagai seorang pelajar yang telah dipinjamkan-Nya kepada kita sebagai medan untuk kita mengutip ilmu, pengalaman dan pahala buat bekalan di akhirat sana?

Elakkan menipu ketika peperiksaan. Andai penjaga peperiksaan meminta kita berhenti menulis kerana masa sudah tamat, jangan pula kita terus menulis. Sebaliknya sebutlah “Bismillahi tawakkaltu ‘ala Allahi wala haula wala quwwata illa billahil ‘azim.”

07.Tepati waktu

“dan orang-orang yang memelihara solatnya.” [23:9]

Konsep yang boleh diambil dalam konteks kehidupan seorang pelajar Muslim ialah supaya sentiasa belajar dengan berdisiplin, menepati masa, tidak berlengah-lengah, menjaga kualiti dan produktiviti harian kita. Jika sebelum ini kita diingatkan supaya berhenti menulis apabila tamat masa peperiksaan, kita juga perlu memulakan perjuanganan kita dalam pelajaran dan peperiksaan seawal yang mungkin. Memelihara solat lima kali sehari setiap hari juga mengajar kita untuk tidak berputus asa atau berpatang arang di pertengahan jalan.

Namun janganlah kita hanya mengaplikasikan konsep-konsep ini untuk akademik semata-mata. Penekanan utama dalam ayat tersebut supaya kita menjaga hubungan kita dengan Allah SWT kerana kita akan kembali mengadap-Nya dengan amal-amal kita, bukan dengan berapa gulung ijazah yang berjaya kita perolehi. Belajar dan ijazah hanyalah alat untuk kita mencapai keredhaan Allah SWT dan merebut peluang mewarisi syurga-Nya.

” Mereka itulah orang-orang yang akan mewarisi. Iaitu yang akan mewarisi Syurga Firdaus. Mereka kekal didalamnya.” [23:10,11]

” ….Maka di antara manusia ada yang berdoa: ‘Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia.’ Dan tiadalah baginya bahagian di akhirat.”[2:200]

“Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari seksa neraka.” [2:201]

“Mereka itulah orang-orang yang mendapat bahagian dari apa yang mereka usahakan dan Allah sangat cepat perhitungannya.” [2:202]

 

BACA, BERIMAN DAN BERAMALLAH DENGAN AL-QURAN YANG MENJADI PETUNJUK SEPANJANG ZAMAN.

Wahai remaja yang berhati mulia,

Keberkatan dan rahmat bagi sesiapa yang sentiasa membaca al-Quran. Cerahlah mata hati insan yang diterangi oleh ayat-ayat suci kalamullah. Al-Quran menjadi pendinding dari bisikan syaitan dan gangguannya. Suara yang mengalunkan al-Quran akan mengharmonikan suasana  dan memberkati rumah kediamannya. Pahalanya pula berganda-ganda. Allah amat suka akan hamba-Nya yang mesra dengan al-Quran.

Sayangnya pada hari ini kita  menyaksikan bahawa umat Islam terus leka dan sering mengabaikan mukjizat dari tuhan yang diciptakan untuk bekalan hamba-hambanya di akhir zaman. Pelbagai mukjizat yang Allah anugerahkan kepada nabi-nabi dan rasul-rasul-Nya untuk umat-umat masing-masing bagi meningkatkan kataqwaan. Apa yang berlaku pada hari ini ialah orang  bukan Islam mula memanfaatkan mukjizat agung ini sebaliknya orang Islam terus menjadikan al-Quran sebagai hiasan rumah dan jauh sekali daripada memanfaatkan kandungannya. Allah azza wa jalla berfirman pada ayat kedua dalam surah al-Baqarah, mafhumnya, “diturunkan ini kitab (al-Quran) sebagai petunjuk untuk orang-orang yang bertaqwa”. Lihat, al-Quran ini adalah sebagai petunjuk iaitu halatuju bagi mereka yang ingin berjumpa dengan tuhannya yakni khususnya untuk orang-orang yang bertaqwa. Siapakah insan yang mengaku bertaqwa kepada Allah? Dimaksudkan taqwa di sini adalah orang yang takut kepada Allah; mereka menurut segala perintah-Nya dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Ramai orang yang mengaku takut kepada Allah sehinggakan seorang penagih dadah mampu menuturkan kata-kata takut kepada Allah walaupun dalam keadaan tangan kanannya memberi suntikan untuk tangan kirinya. Hakikatnya, orang yang benar-benar takut akan Allah adalah mereka yang sentiasa rasa bersalah terhadap segala tindakannya kerana sering diperhatikan oleh Tuhannya dan akan sentiasa menjaga batas-batas kemurkaan Khaliq[1]nya.  .

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, ‘’Di akhir zaman nanti ramai orang yang membaca al-Quran tetapi al-Quran itu sendiri yang melaknat mereka”. Inilah hakikatnya, apabila umat  Islam sibuk membaca al-Quran sahaja tetapi dalam masa yang sama lalai akan setiap perintah tuhan didalamnya. Apakah kita merasakan diri kita terlepas dari laknat kalamullah ini? Bagaimanakah dengan ayat Quran, “Ingatlah bahawa laknat Allah itu atas orang-orang yang berdusta”. Apakah kita tidak berdusta apabila berkata kita takut akan Allah padahal di hati kita langsung tiada tempat untuk Allah. Sejauh manakah kita takut akan Allah dan sejauh manakah kita takut akan makhluknya yang melata di bumi?   Inilah hal yang perlu direnungkan wahai anak-anak remajaku sekalian. Kita tidak boleh menipu Allah dengan dakwaan taqwa. Allah Maha Mengetahui apa yang ada di dalam hati  kita. 

Wahai anak-anak remajaku yang mengidamkan syurga-Nya,

Semailah dan didiklah hati kalian untuk takut akan Allah dengan sebenar-benar takut. Sesungguhnya tiada sesuatu  yang patut kita takuti melainkan takut akan Allah. Jadikan mukjizat al-Quran yang masih kekal ini sebagai panduan dan petunjuk untuk kita meneruskan sisa hidup kita dalam mencari redha Allah. Dunia ini bukannya tempat untuk kita beristirehat dan bukannya tempat untuk bersenang-lenang malah umur kita akan dipersoalkan semula oleh Allah ke  mana ia digunakan, harta kekayaan yang kita miliki akan juga akan disoal ke mana ia dilaburkan. Segalanya apa yang kita miliki akan kita dipertanggungjawabkan di hadapan Allah kelak. Ingatlah wahai remajaku, gunakanlah mukjizat ini dengan sebaiknya dengan menuruti segala ajarannya serta berakhlak dengannya sebagaimana akhlak seorang insan agung yang memegang kunci syurga-Nya iaitu Nabi Muhammad s.a.w.. Sedarlah, sesungguhnya ramai orang yang membaca al-Quran tetapi hanya sedikit yang memperoleh Nur daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran tersebut.

Tuntasnya ayahanda ingatkan remajaku lazimkan diri membaca al-Quran pada setiap hari dan beriman serta beramallah dengan keseluruhan isi kandung mukjizat Allah ini. Semoga kalian semua mendapat berkat, rahmat dan keampunan dari Allah s.w.t.

Menjala ikan di tepi titi,

Bawa bersama sebatang joran;

Tenang jiwa indah pekerti,

Baik insan kerana al-Quran.


[1] al-Khaliq = Tuhan Yang Maha Pencipta.

TEKNIK BELAJAR

Jika anda rasa tidak bahagia

Wasiat Untuk Remaja

1. AWAS! JANGANLAH KALIAN SYIRIK KEPADA ALLAH.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.”

Maksud Surah an-Nisa’: Ayat 48

“(Akibat syirik itu) menjadilah mereka orang-orang yang kufurkan nikmat yang Kami telah berikan kepadanya dan (menjadi) orang-orang yang hanya dapat bersuka ria di dunia; kemudian mereka akan mengetahui kelak akibat buruk apa yang mereka lakukan.”

Maksud Surah al-Ankabut: Ayat 66.

Wahai para remaja  permata hatiku,
Ketahuilah olehmu bahawa sebesar-besar dosa ialah syirik kepada Allah s.w.t. Syirik bermaksud menyekutukan Allah baik dari segi asma’ (nama-Nya), sifat-Nya dan af’al (perbuatan-Nya). Kita tidak boleh sama sekali merasakan dan mengatakan meskipun di dalam hati bahawa ada makhluk sama ada manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan, bulan dan bintang yang sama hebat dan setanding dengan Allah s.w.t. Benar  bahawa dalam sedar memang sukarlah untuk dicari manusia muslim yang sanggup mengatakan kuasa matahari sama hebat dengan kuasa Allah, nama manusia sama indah dengan nama Allah dan kemampuan manusia mencipta mikrocip dan komputer sama canggih dengan ciptaan Allah. Kalau mereka ber’itikad[1] demikian maka sudah pasti jelaslah kesyirikan itu malah boleh membawa kepada kerosakan akidah.

Para remaja sekalian,
Kini kita berada di zaman serba moden, apalagi di zaman kalian akan datang; zaman setelah aku pergi menemui Ilahi. Bukan sahaja corak dan sistem kehidupan serta peralatannya canggih, malah cara berfikir manusia pun semakin maju dan menerawang kepada idea-idea baru. Manusia semakin meminggirkan ilmu dan amalan agama. Sewenang-wenang sahaja manusia bercakap tentang keberkesanan ubat-ubat, ketrampilan sistem teknologi maklumat dan kecekapan sistem perhubungan tanpa bersandar dengan iman kepada Tuhan. Mereka sudah terlupa untuk berkata dan mendetikkan di hati bahawa di sebalik serba kehebatan itu adalah bertolak dari premis kuasa Ilahi semata-mata. Mereka telah lupa dan malas untuk mengiringkan kuasa Allah dalam hal-hal sedemikian. Mereka merasakan diri kolot atau konservatif sekiranya selalu mendendangkan nama Allah, SubhanalLah. Jangan jadi demikian wahai anak-anakku.

Dengarkan lagi wahai anak-anakku,
Sering juga tanpa disedari kita bercakap tentang kuasa makhluk halus. Kadang-kadang manusia mengucapkan pelbagai jampi serapah yang tidak difahami maksudnya. Entah-entah jampi serapah itu memuji dan memuja kuasa hantu dan jin. Besar salahnya apabila kita menilai kuasa hantu dan makhluk halus begitu hebat sehingga dapat menentukan untung nasib dan hayat manusia. Kita merasakan hantu dapat memberi pelbagai sakit misteri dan jin dapat menyembuhkan penyakit. Begitulah juga sikap dan pegangan kita terhadap keberkesanan dan kehebatan ubat-ubatan moden. Kalau kalian meletakkan kehebatan pada ubat-ubatan tertentu, samalah dengan meletakkan kehebatan kepada makhluk-makhluk tadi. Ramai orang faham tentang kepercayaan syirik pada bomoh, jampi dan seumpamanya tetapi mereka pada sisi lain memuji dan memuja ubat dan perubatan moden dan kontemporari seolah-olah ubat-ubatan itu ada kuasa tersendiri. Ini bermakna telah berlaku peralihan syirik bentuk lama kepada bentuk baru.. Kesyirikan tetap wujud. Di manakah Allah wahai anakku? Apakah makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang begitu hebat secara mutlak sehingga kita tidak merasakan lagi sesuatu kejadian itu ditentukan oleh Allah mengikut kehendak dan kuasa-Nya? Sedarilah wahai anakku bahawa kuasa makhluk adalah terbatas, lemah dan merupakan pinjaman sahaja.Hanya jika Allah izin barulah tangan dapat menghayun. Ingatlah diri kita umpama pokok dan bayang. Pokok tidak mampu bergoyang. Kalau pokok bergoyang juga bermakna ada angin yang kita tidak nampak menolaknya. Begitu juga bayang; tiada bayang kalau tiada objek konkrit. Bayang yang bergerak itu adalah kerana objek kepada bayang itu bergerak. Kalau objek itu tidak bergerak maka tidak bergeraklah bayang itu. Ironisnya, bergeraknya makhluk adalah kerana keupayaan yang dikurniakan oleh Allah sahaja. Demikianlah kedudukan kuasa makhluk dinisbahkan dengan kuasa Tuhan yang menjadikan kau dan aku serta alam keseluruhannya.

Anak-anak remajaku yang dirahmati Allah,
Begitu juga dengan hukum-hakam al-Quran. Dari hukum mubah dan harus hinggalah kepada hukum wajib, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengubah hukum itu mengikut nafsu dan kedangkalan ilmu kita. Mutakhir ini atas nama hak dan persamaan, ada orang yang mempertikaikan hukum pembahagian harta pusaka antara waris lelaki dan waris perempuan. Mereka mempertikaikan apa yang telah jelas termaktub di dalam al-Quranul Karim. Apakah mereka lebih pandai daripada Allah? Apakah makhluk (yang dicipta) lebih pandai daripada Khaliq ( Yang Maha Pencipta)? Subhanallah. Mereka merasakan ilmu dan kemajuan zaman mereka dapat mengubah hukum Tuhan mengikut kesesuaian. Ada pula di kalangan muslim yang merasakan ada hukum lain yang lebih baik dari hukum Tuhan. Mereka mempertikaikan hukum hudud dan qisas atas alasan tidak sesuai lagi pada zaman moden dan masyarakat majmuk. Apakah Allah begitu lemah sekali sehingga tidak tahu menurunkan suatu hukum yang sesuai untuk semua manusia, zaman dan tempat? Subhanallah. Betapa kroniknya iman manusia yang mengaku muslim pada hari ini. Segala-galanya mereka hendak bersandarkan pada hukum akal mentang-mentang mereka ada segulung ijazah dan Phd. Mereka telah menterbaliksongsangkan keintelektualan mereka tanpa mereka sedari kerana terpesona oleh rasa hebat akan ilmu mereka.

Berwaspadalah wahai anak-anak  kesayanganku agar kalian tidak terperangkap dalam polemik dan perdebatan intelektual yang sesat dan menyesatkan. Berhati-hatilah wahai putera-puteriku agar kalian tidak terperangkap di dalam telaga buta berbentuk kejahilan.

Anak-anakku para remaja yang dikasihi,
Aku berdoa agar Allah melindungi kalian daripada kejahatan syirik dan proksi-proksinya. Berdoalah kalian dan terus dekatkan diri pada Ilahi dan bertekun dalam mendalami ilmu yang akan menyelamatkan iman dan akidah kalian. Amin.

Kerana sisik ikan kelisa
Tersilau pandangan burung pekaka
Kerana syirik iman binasa
Tersiksa badan dibakar neraka.


[1] Iktikad = pegangan atas sesuatu kepercayaan

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s